Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Greek (Yunani). Perkataan asalnya ialah philosophia yang merupakan gandingan dua perkataan philo yang bermaksud sukakan dan sophia yang bermaksud kebijaksanaan. Oleh sebab itu philosophia bermaksud cintakan kepada kebijaksanaan dan falsafah yang berasal daripada perkataan philosophia membawa maksud yang sama. Ahli falsafah pula adalah orang yang sukakan kebijaksanaan. Oleh sebab falsafah bermula di Greek maka rujukan yang berkaitan dengan falsafah adalah daripada sumber Greek. Falsafah Greek banyak dipengaruhi oleh pemikiran ahli falsafah terkenal mereka seperti Socrates, Plato dan Aristotele. Kebijaksanaan Apakah Yang disukai Oleh Ahli Falsafah? Jawapan kepada persoalan tentang apakah kebijaksanaan yang dicari oleh ahli falsafah boleh dikenal pasti dengan mengkaji dialog antara Socrates (470SM-390SM) dengan para juri yang membicarakan satu kes tuduhan yang dibuat ke atas beliau (Socrates). Socrates telah dibicarakan di mahkamah atas tuduhan meracuni fikiran anak-anak muda Athens dengan pemikiran yang menyeleweng dari pemikiran tradisional Athens. Hujah yang dikemukakan oleh Socrates untuk mempertahankan dirinya daripada tuduhan tersebut boleh dianggap sebagai satu bentuk kebijaksanaan. Demokrasi Athens Athens yang terletak di negara Greece pada masa ini, merupakan sebuah negara bandar yang mempunyai tradisi demokrasi. Dalam sebuah negara demokrasi, penguasaan politik bergantung kepada sejauh mana seseorang itu boleh berhujah dan mematahkan hujah lawan dan mampu memujuk rayu rakyat agar menyokong mereka. Kemahiran berhujah dan berdebat secara yang berkesan dikuasai oleh satu kelompok sarjana yang dinamakan sebagai Sophist. Golongan Sophist ini merupakan juru runding kepada ahli-ahli politik dan mereka menjadi idaman ahli politik yang bercita-cita besar untuk menguasai politik Athens kerana para Sophist mampu menggunakan pelbagai teknik pujuk rayu dan mematahkan hujah-hujah lawan. Golongan Sophist akan menunjuk ajar pelanggan-pelanggan mereka yang terdiri daripada ahli-ahli politik cara dan kaedah menangkis hujah lawan. Natijah daripada sifat yang suka kepada perdebatan dan perbahasan ini telah menyebabkan munculnya berbagai-bagai soalan termasuk soalan yang berkaitan dengan ketuhanan. Masyarakat Athens mula mempersoalkan tuhan-tuhanmereka dan keadaan ini amat tidak disenangi oleh golongan tradisional mereka yang menyembah pelbagai tuhan. Athens mengalami peperangan yang berpanjangan dengan sebuah negara bandar yang lain bernama Spartan. Pada masa yang sama demokrasi di Athens menjadi mangsa kepada para pemimpin negara yang lemah, rasuah dan berkonspirasi untuk menjatuhkan musuh politik masing-masing. Faktor-faktor inilah yang menyebabkan Athens kalah di tangan Spartan. Kelemahan demokrasi Athens dapat dilihat dengan jelas dalam sistem perundangan dan kehakimannya. Ketika itu, sistem perundangan dan kehakiman di Athens menggunakan sistem juri di mana sekumpulan orang akan diminta menghakimi orang yang didakwa. Bilangan ahli juri di Athens pada mulanya adalah kecil. Namun bilangan juri telah ditambah hingga meningkat kepada enam ribu orang juri. Kemudiannya juri-juri ini pula dipecahkan kepada beberapa kumpulan yang lebih kecil iaitu satu kumpulan seramai lima ratus satu orang. Para juri ini telah dibayar gaji tetapi bayaran gaji ini menyebabkan perbendaharaan Athens kehabisan wang. Untuk memastikan juri-juri ini terus menerus menerima bayaran, mereka sendiri telah bertindak dengan cara yang keterlaluan dengan mengenakan denda berat kepada orang yang tertuduh, sama ada mereka telah didapati bersalah atau tidak. Dalam keadaan seperti ini, golongan kaya dan berharta di Athens telah mengambil kesempatan sekiranya mereka melakukan kesalahan dengan cuba menyelesaikannya di luar mahkamah iaitu dengan membayar pendakwa raya dengan sejumlah wang yang banyak. Socrates telah diheret ke mahkamah untuk dibicarakan oleh para juri yang rasuah dan tamak haloba ini pada tahun 399 SM. Socrates yang ketika itu berumur 70 tahun dengan berani mempertahankan dirinya. Dalam hujah-hujahnya untuk membela diri Socrates memulakannya dengan merayu agar beliau dibenarkan bercakap dengan gaya yang biasa digunakannya. Menurut Socrates kekuatan hujahnya bukan terletak pada kepetahannya bercakap tetapi terletak pada kebenarannya. Berikut adalah sebahagian daripada petikan ucapan-ucapan Socrates di mahkamah (Castell, A. Borchert, D. 1905) Aku tahu bagaimanakah kamu, Oh! orang-orang Athens, boleh dipengaruhi oleh orang-orang yang memfitnahkan aku. Aku tahu bahawa mereka hampir-hampir menyebabkan aku lupa siapakah diriku. Mereka dengan bersungguh-sungguh berhujah tetapi tidak sepatah pun mereka berkata sesuatu yang benar. Hanya satu sahaja pendustaan yang mereka ucapkan yang menakjubkan aku iaitu apabila mereka berkata bahawa kamu sekalian sepatutnya mengelakkan diri kamu daripada terpedaya dengan kepetahan aku berkata-kata. Untuk berkata sedemikian, apabila mereka pasti dapat dikesan sebaik sahaja saya bercakap dan membuktikan diri saya sendiri sebagai pendebat yang hebat, kelihatan kepada aku sesuatu perkara yang sangat memalukan-kecuali apa yang mereka maksudkan sebagai kepetahan sebagai kuasa kebenaran; kerana sekiranya inilah yang mereka maksudkan, maka aku boleh mengaku bahawa aku memanglah petah. Tetapi dengan cara yang berbeza daripada cara mereka. Baiklah! Seperti apa yang telah aku katakan , mereka sedikit pun tidak berkata benar; tetapi dari aku sendiri kamu akan dapat mendengar kebenaran; tetapi bukan, tidak akan disampaikan seperti mereka menyampaikan ucapan penuh dengan perkataan dan ayat-ayat. Tidak! Demi Tuhan! Aku akan menggunakan perkataan-perkataan dan hujah-hujah yang ada denganku ketika ini; kerana aku percaya dengan keadilan perjuanganku. Aku tidak sepatutnya berada di hadapan kamu . Wahai orang-orang Athens, jangan ada di antara kamu yang berharap agar aku berhujah seperti remaja. Dan aku memohon kepada kamu: sekiranya aku mempertahankan diriku dengan cara yang biasa aku gunakan, dan kamu mendengar aku menggunakan perkataan-perkataan yang aku biasa gunakan di tanah lapang, atau pada meja pengurup wang, atau di mana-mana sekalipun, aku harapkan kamu tidak akan terperanjat, dan janganlah kamu ganggu aku kerananya. Oleh sebab aku ini berumur lebih daripada tujuh puluh tahun, dan muncul di mahkamah untuk pertama kalinya, aku agak baru dengan bahasa tempat ini; dan aku harap kamu menghormati aku seolah-olah aku ini benar-benar seorang yang asing, yang akan kamu maafkan kiranya dia bertutur dalam bahasa ibundanya, dan mengikut cara negaranya:-Adakah aku meminta satu permintaan yang tidak patut?. Tidak mengapalah tentang gaya, yang mungkin atau tidak mungkin baik; tetapi fikirkanlah tentang kebenarannya ucapanku, dan ambil perhatianlah tentang perkara itu: biarkan orang yang bercakap berkata yang benar dan hakim menentukan secara yang adil" Selepas rayuannya itu, Socrates meneruskan hujahnya dengan membezakan antara dua tuduhan yang dibuat kepadanya. Pertama ialah tuduhan bahawa beliau adalah orang yang hanya mahir dalam bidang ilmu fizikal (implikasinya ialah pengetahuan seperti ini tidak selaras dengan kepercayaan agama tradisional), kedua ialah dalam perdebatannya beliau telah mencampur adukan pengetahuan tradisional dengan pengetahuan fizikal. Dalam hujah yang seterusnya, Socrates telah berkata; Baiklah, maka, aku mesti mempertahankan diri, dan berusaha untuk membersihkan, dengan segera, satu fitnah yang telah memakan masa yang panjang. Mudah-mudahan aku berjaya, kiranya kejayaan ini adalah untuk diriku dan anda semua, atau seolah-olah akan membantu aku dalam usahaku!. Tugas ini bukanlah mudah; aku faham sifatnya, maka aku berserah kepada Tuhan, dan dalam ketaatanku kepada undang-undang, aku sekarang akan mempertahankan diri Aku akan memulakannya dengan berkata bahawa kamu adalah apa yang kamu sendiri nampak dalam komedi Aristophanes, yang telah memperkenalkan seorang yang diberi nama Socrates, pergi ke sana ke mari dan mengatakan bahawa dia berjalan di udara, dan berkata-kata dengan karut tentang perkara-perkara yang aku sendiri tidak tahu sama ada banyak atau pun sedikit dan aku mahu berkata-kata secara memperolok-olok sesiapa yang merupakan pelajar falsafah tabii. Aku sepatutnya berasa amat kesal kalau Meletus boleh memfitnahkan aku sebegitu buruk sekali. Tetapi apa yang sebenarnya, Oh orang-orang Athens, aku sebenarnya tidak ada kena mengena dengan spekulasi fizikal. Ramai yang ada di sini merupakan saksi kepada kebenaran ini, dan kepada mereka aku merayu. Berkatalah, kamu sekalian telah mendengar dari aku, dan maklumkan kepada jiran-jiran kamu sama ada sesiapa antara kamu telah pernah mengetahui bahawa aku ini berpegang kepada kebenaran dalam beberapa perkataan atau pun banyak tentang perkara-perkara seperti itu....Kamu dengarlah jawapan. dan daripada apa yang kamu dengar daripada tuduhan ini, kamu akan dapat membuat keputusan kebenaran yang seterusnya... Pada akhirnya Socrates telah didapati bersalah oleh para juri yang rasuah dan para pendakwa Socrates memohon agar Socrates dijatuhi hukuman mati. Sebelum dijatuhkan hukuman, Socrates telah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan agar hukuman tersebut diringankan tetapi beliau memilih untuk tidak meminta hukuman tersebut diringankan, sebaliknya Socrates berhujah bahawa beliau sepatutnya diberi ganjaran kerana dengan usaha beliaulah maka budaya berfalsafah di kalangan masyarakat Athens wujud dan faedah-faedah budaya berfalsafah di kalangan masyarakat Athens ini melahirkan perbincangan harian di sekitar isu tentang nilai kebaikan dan matlamat kehidupan di kalangan masyarakat. Wahai orang-orang Athens, aku hormat dan sayang kepadamu; tetapi harus mematuhi Tuhan bukan kamu, dan ketika aku ada nyawa dan kekuatan aku tidak akan berhenti daripada mengamalkan ajaran dan mengajar falsafah, menggalakkan sesiapa jua yang aku temui dan berkata kepadanya dengan caraku; Kamu, kawanku,- seorang rakyat bandar yang hebat dan pintar Athens,- tidakkah kamu rasa malu mengumpulkan begitu banyak wang, pangkat dan nama, dan tidak pedulikan kebijaksanaan dan kebenaran dan memperbaiki rohani kamu, yang kamu tidak pernah pedulikan atau ambil perhatian langsung?... Setelah Socrates selesai berhujah, maka undian telah dilakukan dan Socrates pun dijatuhi hukuman mati. Untuk kali terakhirnya Socrates telah diberi peluang untuk bercakap. Dalam ucapan terakhirnya itu Socrates meneroka dan menghurai secara berfalsafah isu tentang kematian dan tentang nilai-nilai kebaikan dan kebenaran. Tidak banyak masa lagi akan diperolehi, Oh! orang-orang Athens, sebagai balasan untuk nama jahat yang kamu akan perolehi hasil daripada pengkritik-pengkritik di bandar ini, yang akan berkata kamu membunuh Socrates, seorang yang bijaksana; kerana mereka akan menggelar aku bijak, walaupun aku tidak bijak, apabila mereka hendak memarahi kamu. kalaulah kamu mahu tunggu sedikit masa lagi, keinginan kamu mungkin akan terlaksana secara semula jadi kerana aku pun sudah tua, seperti yang kamu dapat saksikan, dan tidak jauh daripada kematian. Aku tidak berucap kepada semua kamu, tetapi hanya kepada kamu yang telah menjatuhkan hukuman mati ke atasku. Dan aku ada sesuatu yang lain untuk diperkatakan kepada mereka. Kamu fikir aku dijatuhi hukuman kerana aku tiada apa yang akan menyelamatkan aku daripada hukuman ini:- maksudku, kalaulah aku rasa sesuai untuk aku bercakap tentang semuanya. Kekurangan yang menyebabkan aku dijatuhi hukuman bersalah bukanlah perkataan-perkataan, pastinya bukan. Tetapi aku tidak ada keberanian seperti yang kamu mahukan, menangis, merayu-rayu dan meraung-raung dan berkata-kata dan melakukan banyak perkara seperti yang biasa kamu dengar daripada orang-orang lain, yang mana, seperti mana yang aku dakwa, tidak berharga untukku. Aku fikir pada masa itu bahawa aku sepatutnya tidak lakukan sesuatu yang biasa apabila berada dalam keadaan bahaya: ataupun kini aku menyesal cara aku mempertahankan diriku; lebih baik aku mati selepas aku berucap dengan cara aku sendiri, daripada bercakap dengan cara kamu dan hidup.. Selepas itu, Socrates pun dijatuhi hukuman mati dengan meminum air tumbuhan hamlock. Hujah-hujah dan ucapan-ucapan yang telah dikemukakan oleh Socrates sepanjang perbicaraan tersebut dianggap menunjukkan bahawa dalam diri Socrates ini wujud ciri-ciri seorang ahli falsafah iaitu hebat dan berani, bijak berhujah dan merendahkan diri, suka membuat kajian dan bersungguh-sungguh dalam kajiannya dan mempunyai tugas dan matlemat hidup. Tugas hidup Socrates ialah untuk mencari kebenaran yang akan membolehkan manusia hidup dengan sejahtera di atas muka bumi ini dan pencarian tentang kebenaran ini terus menerus dilakukan tanpa kenal penat lelah. Ciri-ciri yang wujud dalam diri Socrates ini merupakan ciri-ciri yang dipunyai oleh ahli falsafah iaitu orang yang cintakan kepada kebijaksanaan. Sebaliknya terdapat juga orang yang tidak pedulikan tentang erti kehidupan. Socrates menganggap bahawa kehidupan seperti itu sebagai tidak bermakna dan tiada berfaedah untuk hidup. Cabang-Cabang Falsafah Falsafah dibahagikan kepada empat cabang iaitu epistemologi, metafizik, etika dan estetika. Epistemologi Perkataan epistemologi berasal daripada perkataan Greek episteme yang bermaksud pengetahuan. Ianya adalah satu cabang falsafah yang berkaitan dengan penyelidikan dan perbahasan tentang sumber-sumber ilmu pengetahuan manusia, keterbatasan-keterbatasan ilmu pengetahuan dan sejauh mana ilmu pengetahuan manusia itu pasti atau ia hanya kemungkinan semata-mata. Epistemologi juga dikaitkan dengan psikologi dan logik. Proses mendapatkan ilmu seperti induksi dan falsifikasi merupakan dua cara yang digunakan untuk mendapatkan ilmu sains mengikut perspektif Barat. Metafizik Cabang falsafah yang membincangkan asas-asas kewujudan atau kehakikatan, seperti kewujudan dan sifat-sifat tuhan, keabadian ruh, maksud kejahatan, masalah kebebasan dan ketentuan, hubungan antara jasmani dan rohani,. Sistem metafizik telah dimasukkan dalam kesarjanaan Aristotele dan juga sistem kerasionalan Rene Descartes, Benedict Spinoza dan Gotfried Leibiniz. Pemikiran metafizik dikritik oleh Immanuel Kant, yang mendakwa metafizik tradisional , walaupun membangkitkan soalan-soalan yang secara moral adalah perlu, namun ia sebenarnya cuba untuk melewati batasan had pengetahuan manusia. Pada kurun ke-20, metafizik ditolak dan dianggap sebagai tidak bermakna oleh pendukung- pendukung doktrin positivisme logik Etika Etika adalah cabang falsafah yang berkaitan dengan penilaian prinsip-prinsip moral tingkah laku manusia dan organisasi sosial. Untuk beberapa abad yang lalu, pelbagai teori telah dikemukakan untuk menjelaskan bagaimana manusia membina kesedaran dan pandangan tentang benar dan salah. Ada golongan yang berhujah bahawa nilai-nilai ini adalah nilai yang hakiki dan merupakan fitrah , ada juga yang berpendapat bahawa nilai-nilai ini bergantung kepada kemahiran individu ataupun keadaan-keadaan sejarah. Menurut sejarahnya, etika berkait rapat dengan agama, tetapi di Eropah dan Amerika, pada abad ke 19 dan 20, ada pandangan falsafah yang memperjuangkan etika yang bukan bersumberkan kepada agama. Estetika Estetika adalah cabang falsafah yang berkaitan dengan definasi kecantikan dan keindahan, keburukan dan kehodohan. Logik Logik ialah cabang falsafah yang berkaitan dengan prinsip-prinsip formal pemikiran dan penghujahan. Logik Aristotele atau Logik Klasikal dicirikan oleh keprihatinan ke atas struktur dan unsur-unsur perbahasan berdasarkan kepada kepercayaan bahawa pemikiran, bahasa dan kehakikatan adalah berkait antara satu sama lain. Pengaruh Logik Klasikal ke atas Tamadun Barat adalah terlalu besar dan terus berkekalan. Pada kurun ke 19 dan 20, logik simbolik telah mula berkembang. Ia berakar umbi dalam teori matematik (Teori Set) dan merupakan faktor penting dalam memperkembangkan matematik moden. Takrif Pembangunan Dari sudut takrif pembangunan dua pendekatan digunakan. Pembangunan dari pengertian bahasa Melayu dan pembangunan daripada pengertian perkataan development dalam bahasa Inggeris. Kedua-dua perkataan ini iaitu pembangunan dalam bahasa Melayu dan development dalam bahasa Inggeris mempunyai kata dasar yang berbeza, namun secara umumnya ia mengarah kepada maksud yang sama. Pembangunan berasal daripada kata dasar 'bangun' yang menurut Kamus Dewan (2000) bermaksud bangkit (daripada duduk,tidur dan lain-lain), jaga (daripada tidur), bangkit. Dengan menambah perkataan 'mem' kepada kata dasar bangun maka muncul perkataan 'membangun'. Membangun bermaksud berkembang dan naik maju. Dengan menambah perkataan 'pem' kepada kata dasar 'bangun' pula muncul nama terbitan 'Pembangunan'. Pembangunan dikaitkan dengan perihal membangun atau proses membangun (mencapai kemajuan, perkembangan dan sebagainya). Sayed Osman al-Habsi (1992) mentakrifkan pembangunan sebagai "proses peningkatan taraf hidup manusia dari peringkat rendah kepada peringkat yang lebih tinggi". Development Definisi pembangunan dan development agak berbeza. Tetapi dalam konteks perbincangan ini, ada kesesuaiannya untuk memasukkan takrif development. Perkataan development banyak digunakan untuk menamakan beberapa agensi-agensi nasional dan antarabangsa umpamanya terdapat bank yang dinamakan sebagai World Development Bank, Asian Development Bank dan sebagainya. Maka istilah development adalah releven untuk dibincangkan di sini. Perkataan development berasal daripada kata dasar dalam bahasa Inggeris iaitu velope. Velope bermaksud membungkus seperti pakaian atau bungkusan luaran. Oleh sebab itu untuk develope adalah untuk membuka, untuk mendedahkan apa yang dibungkus. Biasanya apa yang dibungkus itu adalah sesuatu yang berharga tujuannya untuk menjaganya. Jadinya proses development adalah proses membuang pembungkus sama ada untuk mendedahkan benih yang terdapat di dalamnya kepada iklim dan musim pertumbuhan, atau untuk mendedahkan mutiara, permata, kecantikan di dalamnya,menyinarinya agar ia berkilau. Kamus Webster (1993) memberi definasi development sebagai proses 'to cause to grow in some way; to cause to become gradually fuller, larger, better masksudnya untuk menyebabkan ia tumbuh dalam beberapa cara; untuk menyebabkan ia secara beransur-ansur menjadi lebih berisi, lebih besar, lebih baik. Kamus Oxford (Vol I muka surat 707-708) pula menjelaskan maksud development sebagai to unfold, unroll (anything folded or rolled up) ; to unfurl (a banner) to open out its unfolding cover maksudnya 'untuk menebarkan, menghampar (apa-apa jua yang digulung); untuk mengebar (panji) untuk membuka penutupnya. Kamus yang sama juga menerangkan tentang developmet dengan beberapa variasi iaitu: 1. Satu proses pembukaan secara beransur-ansur, sehingga melahirkan panorama yang lebih lengkap dan sempurna. 2. Perubahan dan perkembangan secara beransur-ansur daripada sifat yang tersembunyi atau daripada bentuknya yang asal. 3. Pertumbuhan dan pembukaan benih. 4. Kemajuan yang beransur-ansur secara progresif dan pertumbuhan daripada dalaman. 5. Keadaan membangun atau subur; satu keadaan di mana semua benda berada dalam keadaan kehidupan dan tindakan yang segar. Oleh sebab itu, perumpamaan proses development adalah seperti sebiji benih yang kecil, apabila didedahkan kepada keadaan yang sesuai akan tumbuh, tumbuh dalam keadaan aman dan sejahtera sehingga menjadi sebatang pohon yang besar, sihat dan hebat. Dalam hubungan ini takrif development memberi maksud yang lebih baik berbanding dengan takrif pembangunan, walaupun kedua-dua perkataan ini difahami oleh masyarakat umum sebagai sama. Falsafah Pembangunan Perkataan falsafah seperti yang digunakan oleh orang-orang Yunani, bermaksud pencarian ilmu pengetahuan untuk tujuan ilmu semata-mata. Falsafah mengandungi semua aspek pemikiran spekulatif dan merangkumi sastera, sains dan agama . Satu kaedah khusus telah dibina dalam pelbagai bidang ilmu di mana setiap bidang mempunyai aspek falsafahnya sendiri, menyebabkan munculnya falsafah seni, falsafah sains, falsafah sastera dan sebagainya. Maka Falsafah Pembangunan adalah satu set nilai-nilai asas dan sikap manusia terhadap pembangunan . Dalam Falsafah Pembangunan, perbahasan dan perbincangan merangkumi pelbagai aspek pembangunan sama ada daripada pelbagai aspek dengan tujuan untuk mengetahui dan mengenal pasti bentuk pembangunan yang terbaik untuk manusia demi untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan hidup.
Posted by abuaiman
at 12:55 AM EDT